MoU ditandatangani Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Pemasaran IFFCO, Mr. Yogendra Kumar. Majlis disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar di Hotel Melia Sevilla di Seville, Sepanyol.

KUALA LUMPUR – Malaysia meterai memorandum persefahaman kerjasama (MoU) menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan The Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO).

Ia bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada gerakan koperasi di kedua-dua buah negara dalam industri pertanian dan asas tani serta perladangan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang menyaksikan pemeteraian MoU itu berkata, memorandum kerjasama itu akan membantu usaha kerajaan untuk memperkasa sektor dan pengusaha pertanian khususnya koperasi serta memastikan kualiti dan hasil pertanian negara seiring dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Melalui perjanjian yang telah dimeterai, Angkasa pada dasarnya bersetuju untuk mengimport baja nano dan mengadakan ujian awal penggunaannya di tanah-tanah pertanian yang telah dikenal pasti.

Usaha itu merupakan langkah ke hadapan khususnya dalam memastikan kelestarian alam semulajadi kerana tiada komponen kimia digunakan dalam pembuatan baja nano.

IFFCO telah memberi jaminan penggunaan baja nano akan membantu mengurangkan pencemaran dan pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan input pertanian.

MoU dimeterai sebagai salah satu agenda lawatan kerja rasmi Noh yang mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa, ICA Elective General Assembly dan Persidangan Cooperatives: The Moment Is Now!” 2022 di Hotel Silken Al-Andalus, Seville, Sepanyol pada 19 hingga 22 Jun 2022.

Presiden Angkasa yang merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama antara koperasi dengan koperasi di seluruh dunia akan terus diperluas dan diperkukuh menerusi sebagai gerbang perhubungan perdagangan dua hala bagi sektor koperasi.

“Angkasa bertindak sebagai pemudah cara sesuai dengan peranannya sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu dan mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa selaras dengan Aspirasi Koperasi Malaysia dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 serta Dasar Keusahawan Nasional (DKN) 2030,” katanya.

IFFCO yang dinobatkan sebagai koperasi terbaik dunia dalam “Top 300# World Cooperative Monitor 2021 dimiliki penuh oleh Cooperative Societies of India dan merupakan pengilang baja terbesar di negara tersebut.

MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 19 Jun 2022 dan kerjasama itu boleh dilanjutkan berdasarkan kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Kerjasama berkenaan merupakan ruang dan peluang untuk dimanfaatkan oleh koperasi yang terlibat dengan sektor perladangan dan sektor pertanian dan industri asas tani mendapatkan bekalan baja jenis nano urea yang mesra alam, selamat dan menambah kandungan nutrien dengan harga yang berpatutan.

MoU yang sama juga akan menawarkan produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia dalam sektor ini untuk timbal balas kerjasama kepada pihak IFFCO.

Penggunaan baja nano urea ini akan membantu para petani dan peladang di Malaysia dalam mengurangkan kos operasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast