Tujuh PATI Myanmar termasuk dua wanita yng ditahan kerana me nceroboh masuk negara secara tidak sah pagi ini. Ihsan ATM

KUALA LUMPUR – Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba masuk ke dalam negara melalui sempadan jalan darat di utara semenanjung dengan menggunakan laluan tidak sah digagalkan pihak berkuasa.

Mnurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kejadian tersebut berlaku di kawasan semak berhampiran jalan raya di Bukit Kayu Hitam di sektor Op Benteng kawasan yang berada di bawah tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Pada 20 Jun 2022 jam 10.45 pagi, Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan memasuki negara melalui pagar sempadan.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam tersebut iaitu seramai tujuh orang yang bersembunyi di dalam kawasan semak berhampiran jalan raya.

“Hasil pemeriksaan mendapati PATI memasuki negara ini dengan merosakkan pagar sempadan dan kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kesemua tangkapan itu adalah berusia lingkungan antara 28 hingga 54 tahun yang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan, ujarnya.

Menurut kenyataan itu, pasukan SERKAP turut merampas tujuh buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM4,211.13.

Katanya, kesemua PATI Myanmar itu telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

“Sebelum ini pada 18 Jun 2022, seramai 47 orang PATI warganegara Myanmar telah ditangkap oleh anggota bertugas di sekitar lokasi yang sama kerana telah memasuki negara ini menggunakan kaedah yang sama iaitu dengan merosakkan pagar di sempadan jalan darat tersebut.

“Pasukan beroperasi akan terus meningkatkan kawalan di sempadan negara bagi menghalang sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette