Allahyarham Adibah Noor

PEMERGIAN penyanyi dan pelakon Adibah Noor dua hari lalu akibat kanser menambahkan lagi statistik bilangan kematian akibat kanser di negara ini.

Allahyarham berusia 52 tahun dilaporkan menghidap kanser ovari tahap empat dan menjalani rawatan sejak beberapa bulan lalu.

Sepertinya dalam dunia yang semakin maju dengan segi sains dan teknologi ini tidak ada sesiapapun yang terkecuali daripada menjadi ‘mangsa’ penyakit kanser.

Penyakin tidak berjangkit (NCD) ini menjadi punca kedua kematian di seluruh dunia.

Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan peningkatan 93 peratus atau 19.3 juta kes baharu pada tahun 2020 berbanding 10 juta kes pada tahun 2000.

Jumlah kematian akibat kanser merekodkan peningkatan sebanyak 42.9 peratus dalam tempoh dua dekad iaitu dari 7 juta kepada 10 juta.

Pertubuhan tersebut melaporkan terdapat 48,639 kes baharu kanser di kesan di Malaysia tahun lalu dan meramalkan jumlah pesakit kanser di negara ini meningkat dua kali pada 2040.

Keadaan di Malaysia

Pada Februari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan satu daripada sembilan wanita di Malaysia berkemungkinan akan menghidap kanser.

Manakala satu daripada 10 lelaki di negara ini dijangka akan mendapat oleh penyakit yang membawa maut tersebut.

Angka ini bukan kecil. Seolah-olah setiap keluarga sekurang-kurangnya terdapat seorang akan menghidap penyakit yang ditakuti itu.

Kanser yang paling kerap menyerang wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus) diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Manakala bagi kaum lelaki jenis kanser yang paling kerap dihidapi adalah kanser kolorektal iaitu 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kematian akibat kanser menjadi sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 34.95%.

Penyakit berkenaan menjadi sebab kematian keempat di hospital milik kerajaan iaitu 11.56 peratus.

Penyakit itu merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di hospital kerajaan iaitu 5.17 peratus dan hospital swasta 5.37 peratus.

Jumlah sembuh kanser kurangĀ 

Satu kajian yang dilakukan oleh dua penyelidik kanser di Malaysia yang disiarkan dalam laman sesawang Cancer.Net mendapati jumlah pesakit di Malaysia yang sembuh daripada penyakit itu masih kurang berbanding negara membangun lain.

Menurut Dr. Mastura Md Yusof dan Prof. Madya Dr. Wan Zamaniah Wan Ishak ujian sringan untuk kanser seperti payudara, serviks, kolorektal dan prostat boleh didapati di Malaysia. Bagaimanapun bilangan orang yang kerap menjalani pemeriksaan adalah jauh daripada memuaskan.

Menurut mereka, kekurangan pengetahuan mengenai pelbagai kaedah pemeriksaan kanser, sikap, budaya dan kekurangan galakan adalah antara sebab utama tindak balas yang lemah terhadap pemeriksaan kanser.

“Walaupun Malaysia adalah sebuah negara berpendapatan sederhana atas dengan sistem penjagaan kesihatan yang kukuh dan program sosioekonomi yang baik, kadar survival kanser di Malaysia masih di bawah kadar purata negara maju.

“Ini disebabkan oleh pelbagai halangan yang dihadapi oleh penghidap kanser, termasuk kesedaran dan kadar saringan kanser yang rendah, kelewatan dalam mendapatkan rawatan perubatan, kelewatan dalam pengesanan dan diagnosis serta akses yang tidak mencukupi kepada penjagaan berkualiti.

“Halangan ini amat lazim bagi orang yang tinggal di kawasan luar bandar kerana pusat kanser hanya terdapat di bandar utama,” katanya dalam kajian yang bertajuk Cancer in My Community: Addressing Increasing Cancer Cases in Malaysia (Kanser dalam Komuniti Saya: Menangani Peningkatan Kes Kanser di Malaysia).

Menurut mereka, sekurang-kurangnya tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Terengganu tidak mempunyai sebarang pusat kanser.

Dr. Mastura dan Wan Zamaniah merupakan perunding pakar onkologi klinikal di hospital kerajaan dan swasta.

Menurut mereka ketika ini nisbah pakar onkologi adalah satu bagi setiap 220,000 individu. Walaupun nisbah tersebut masih dianggap jauh daripada ideal namun bilangan pakar onkologi telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

Bilangan pakar bedah khusus, makmal molekul, pusat yang menawarkan perkhidmatan onkologi dan radioterapi, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan penjagaan dan advokasi kanser juga telah meningkat.

Masih ada bergantung rawatan tradisional

Kanser masih lagi menjadi penyakit yang ditakuti ramai dengan kesedaran dan pengetahuan masyarakat masih kurang tentang tanda dan simptom.

Lebih membimbangkan apabila ada pesakit yang lebih gemar mendapatkan rawatan secara tradisional berbanding berjumpa doktor walaupun banyak pusat mempunyai peralatan rawatan kanser terkini seperti terapi sinaran, imunoterapi, terapi sasaran dan lain-lain.

“Terdapat juga banyak pengamal perubatan tradisional dan pengamal kesihatan di Malaysia yang menawarkan terapi alternatif kepada perubatan standard penjagaan bagi penghidap kanser.

“Internet dan iklan media sosial yang tidak terkawal telah membenarkan beberapa amalan yang tidak diluluskan berkembang, yang telah menyumbang kepada kelewatan orang yang mendapatkan rawatan kanser standard.

“Secara keseluruhan, mengelakkan diagnosis dan rawatan atau mendapatkan terapi alternatif adalah amalan biasa di Malaysia, yang seterusnya menyumbang kepada hasil kelangsungan hidup (pesakit kanser) yang lemah,” katanya.

Dengan bilangan kes yang bertambah dan seolah-olah tiada siapa pun terkecuali daripada mendapat kanser adalah penting untuk setiap individu membuat ujian saringan kanser sekiranya mereka mempunyai simptom penyakit tersebut.

Malah Malaysia mempunyai banyak sumber yang tersedia untuk penghidap kanser dan ia memberikan perubahan yang berharga kepada beribu-ribu penghidap kanser dan keluarga.

Sebagai permulaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungan mereka melalui Skim Kecederaan Pekerjaan dan Skim Ilat.

Ia membantu dengan menyediakan baucar saringan, pencen, perkhidmatan pemulihan dan bantuan kewangan kepada pekerja yang menghadapi kanser.

Terdapat juga beberapa NGO yang boleh dicari oleh pesakit yang membantu mereka daripada segi kos untuk mendapatkan rawatan dan ia boleh membantu menyelamatkan nyawa.-MalaysiaGazette