Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat kes pukul dalam sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas.

Kejadian berlaku dipercayai berpunca akibat perselisihan faham di laman Facebook (FB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohd Nasir Drahman berkata, dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa berusia 48 tahun berjumpa dengan dua lelaki di restoran itu bagi menyelesaikan masalah peribadi.

Beliau berkata, seorang daripada suspek dipercayai memuat naik gambar bapa mangsa yang telah meninggal dunia selain mengaibkannya di laman Facebook.

Bagaimanapun Mohd Nasir berkata, semasa perbincangan, lelaki terbabit naik angin dan memaki hamun sebelum dia dan rakannya bertindak memukul mangsa menggunakan batang besi paip dan kerusi plastik.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan menerima 12 jahitan di kepala,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kelmarin dan kini giat memburu kedua-dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mohd Nasir memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Sjn Ahmad Faizal menerusi talian 019-7691924 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette