2. Prof. Stephen Boyle (tengah) bersama dua orang pensyarah JCU, Profesor Adjung Dr. Hera Oktadiana (kiri) dan Dr. Jenny Panchal (kanan) yang berada di Australia ketika LoI bersama FPEP.

KOTA KINABALU – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Perniagaan, Undang-undang dan Governan, James Cook University (JCU), Australia akan memulakan kerjasama yang menghubungkan inisiatif pelancongan budaya di Australia, Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui siri seminar dan bengkel perkongsian pengalaman.

Seminar tersebut dijangka memberi ruang kepada Malaysia, Australia, Indonesia dan Filipina dalam menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap pandemik Covid-19, selain membentuk kapasiti yang lebih besar dalam meremajakan pelancongan budaya pasca pandemik.

Hasil utama projek ini adalah untuk tapak pelancongan budaya mengadaptasi dengan norma baharu, mempelbagaikan aktiviti ekonomi mereka dan berinovasi untuk memberi manfaat kepada komuniti mereka dan terutamanya kepada golongan
wanita dan belia.

Menurut Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul, siri seminar yang bakal diadakan itu mendapat pembiayaan daripada Geran Majlis Australia-ASEAN di bawah Jabatan Hal
Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Australia dengan jumlah keseluruhan sebanyak AUD$81,000.

”Ini adalah salah satu projek penting bagi FPEP dan diharap kolaborasi antarabangsa seperti ini akan membantu Program Pelancongan di UMS mencapai status teratas dalam ranking subjek pelancongan di Malaysia.

”Saya sangat teruja terhadap impak melalui projek ini yang pasti akan menyumbang kepada peningkatan pelancongan kebudayaan bukan sahaja di Sabah tetapi di negara ASEAN yang lain," katanya.

Tambah Awangku Hassanal, tarikh penganjuran seminar tersebut akan diperhalusi sebelum mendapat persetujuan oleh pihak penganjur.

Sementara itu, ketua projek kerjasama James Cook University, Dr. Denis Tolkach berkata, projek berkenaan bukan sahaja akan membangunkan kapasiti inisiatif pelancongan budaya pasca pandemik, malah ia akan membawa kepada perancangan
untuk mewujudkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi pelancongan di Malaysia, Filipina, Indonesia dan Australia.

”Kerjasama yang akan dijalankan ini diharap dapat mempromosikan pelancongan dengan lebih giat dan lestari di negara-negara ASEAN dan Australia," katanya.

Kerjasama UMS dan JCU kali ini merupakan kesinambungan kepada surat niat yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada September 2021 bagi meneroka projek pemulihan pelancongan budaya dan penganjuran seminar pemasaran
pelancongan budaya.

Surat niat tersebut telah ditandatangani oleh mantan Dekan FPEP UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Md. Mansur bersama Dekan Kolej Perniagaan, Undang-undang dan Governan JCU, Prof. Stephen Boyle.

Selain JCU, FPEP telah menjalin bekerjasama di peringkat global bersama beberapa rakan universiti dari negara Jerman, Jepun dan Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast