Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari meninjau lokasi penyimpanan minyak diesel haram di di  Kawasan Perindustrian Batu 3, Tanah Putih, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah menyita lima skid  tank diesel yang dianggarkan mengandungi 7,000 liter minyak bersubsidi yang disimpan secara haram bernilai RM31,500 di  Kawasan Perindustrian Batu 3, Tanah Putih di sini semalam.

Selain itu, pihaknya juga turut menemui satu kontena lama yang mengandungi 57 tong berisi LPG 14KG dan 68 tong kosong bernilai RM6,076, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari.

“Turut ditemui di tempat kejadian adalah sebuah pam minyak yang digunakan untuk memindahkan diesel ke kapal-kapal nelayan dan seorang lelaki berbangsa Myanmar dipercayai penjaga kawasan itu,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi rampasan itu hari ini.

Selain itu, katanya, seorang lelaki dipercayai warga Myanmar nekad terjun ke sungai setelah menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa KPDNHEP.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Pahang, Muhamad Radzi Johari menunjukkan motor yang digunakan untuk mengepam diesel kepada kapal dan bot di Kuantan hari ini.

Muhamad Radzi berkata, aktiviti penjualan minyak diesel  berkemungkinan besar telah beroperasi sejak lima tahun lalu berdasarkan keadaan skid tank dan struktur perpaipan serta hos yang digunakan.

“Kita juga menyita skid tank yang dianggarkan bernilai RM20,000 menjadikan jumlah sitaan keseluruhan adalah bernilai RM53,500,” tambahnya.

Dalam pada itu, Muhamad Radzi berkata, hasil pemeriksaan lanjut sekitar stor penyimpanan tersebut pihaknya turut menemui satu kontena lama yang mengandungi 57 tong berisi LPG 14KG dan 68 tong kosong bernilai RM6,076.

“Seorang suspek lelaki berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 60 tahun yang merupakan pemilik kontena tersebut telah ditahan untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Pahang, Muhamad Radzi Johari menunjukkan hasil rampasan tong LPG disimpan secara haram berhampiran skid tank penyimpanan diesel bersubsidi di sini hari ini.

Kedua-dua kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Mohamad Radzi, sejak 1 Januari tahun ini, KPDNHEP Pahang telah menyiasat sebanyak 370 kes hasil pemeriksaan secara proaktif ke atas sebanyak 32,457 premis pelbagai peringkat perniagaan.

“Jumlah rampasan daripada keseluruhan kes terbabit ialah bernilai RM39,411 manakala nilai kompaun dikeluarkan adalah sebanyak RM227,300,” katanya.

Tambahnya, KPDNHEP Pahang akan sentiasa memastikan tidak berlaku ketirisan melibatkan barang-barang bersubsidi yang akhirnya boleh mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Muhamad Radzi menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan bersubsidi untuk menyalurkan aduan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan dan siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

https://youtu.be/GV0zgZmVoGM