Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022, lebih rendah daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2021.

Prestasi itu didorong oleh kemerosotan ketara dalam pasaran dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Kami memulakan awal suku tahun pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan yang lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku tahun pertama.

”Penurunan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah. Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas oleh krisis pandemik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP terjejas oleh kelembapan pasaran namun KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan
tambahan.

Pada suku tahun yang dikaji, ekuiti menyumbang sebanyak RM10.46 bilion, iaitu 66% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar. Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut.

Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekaligus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada suku pertama 2022 kepada RM14.76 bilion.

Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

Instrumen pendapatan tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion, atau 30% kepada pendapatan pelaburan kasar.

Pendapatan yang direkodkan lebih tinggi berbanding RM3.89 bilion yang dijana pada suku pertama tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil pasaran yang lebih tinggi pada tempoh sama tahun ini, berbanding tempoh yang
sama tahun lalu.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion, daripada RM0.71 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021 manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang pula mencatatkan RM0.28 bilion, daripada RM0.38 bilion.

Sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, yang mana 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Menurut Amir Hamzah, kepelbagaian KWSP dalam kelas aset, pasaran, dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan tambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP.

Pada tempoh itu, pelaburan luar negara KWSP menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, mewakili 52% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.88 bilion daripada RM15.85 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Syariah, dan RM13.97 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Syariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio syariah dan konvensional. – MalaysiaGazette