Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah pada hari pertama bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah bagi dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu  jumlah wang RM120,000 daripada RM250,000 yang hilang daripada peti besi rumah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan untuk pengubahsuaian rumah ahli keluarga.

Jumlah tersebut adalah milik ibu dan bapa Ahli Parlimen Muar itu yang juga Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Bagaimanapun butiran itu berbeza dengan laporan forensik yang mengandungi rakaman perbualan aplikasi WhatsApp bersama ahli dalam kumpulan media sosial di mana mendedahkan jumlah RM120,000 adalah sumbangan dana politik atau discretionary fund yang dipohon Syed Saddiq.

Laporan forensik daripada WhatsApp milik Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika turut mendedahkan perbualan lain mengenai alasan yang akan dimaklumkan kepada pihak media bagi menutup mulut orang ramai berhubung kehilangan wang daripada peti besi itu nanti.

Keterangan itu dimaklum oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Taufik Awaluddin sebagai saksi pertama perbicaraan Syed Saddiq.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin Wan Shaharuddin, Muhammad, Taufik berkata, telefon bimbit Rafiq dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq dan ibu bapanya berhubung kehilangan RM250,000.

“Pada mulanya, Syed Saddiq memberitahu dalam kumpulan Whatsapp bahawa wang itu adalah dana budi bicara yang dipohonnya sebelum ini kemudian dia berbincang dengan ahli kumpulan lain apakah kenyataan yang perlu dibuat kepada media berhubung isu itu bagi menutup mulut orang ramai mengenai wang yang hilang dari peti besi,” dakwa  Muhamad Taufik.

Beliau turut memberitahu, pihak SPRM mula menjalankan siasatan pada 31 Mac 2020 berhubung kehilangan wang daripada rumah Syed Saddiq hasil laporan polis yang dibuatnya bersama-sama ibu bapa.

Tambah Muhamad Taufik lagi, dalam laporannya, Syed Saddiq menyatakan, peti besi itu yang menggunakan kombinasi nombor keselamatan dibuka kali terakhir di antara 13 dan 14 Mac 2020.

“Tiada kesan umpilan pada peti besi manakala biliknya berada dalam keadaan kemas selain hanya individu tertentu yang mengetahui di mana wang tersebut disimpan,” katanya.

Sebelum itu, Muhamad Taufik menimbulkan kemarahan peguam bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Gobind Deo apabila keterangan awalnya menyatakan siasatan yang dilakukannya kerana curiga dengan wang yang dimilik Syed Saddiq ketika di kementerian yang disyaki wang sumbangan daripada kontraktor.

“Soalan ini tidak relevan dengan kes ini dan ini  cuba menjatuhkan imej anak guam saya,” tegas peguam berkenaan.

Selain Gobind, Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk S. Ambiga  Haijan Omar dan Lim Wei Jiet.

Beliau kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi.

Kes itu didengar oleh Hakim Azhar Abdul Hamid di mana seramai 40 saksi akan dipanggil pada perbicaraan kes itu.

Gobind sebelum itu turut mempertikaikan Mohd. Taufik yang keliru dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas Syed Saddiq adalah tiga dan bukannya empat pertuduhan.

Sementara itu,Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen bagaimanapun beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 November tahun lepas dan permohonan itu dibenarkan.

Pada 22 Julai 2021, bekas menteri  itu didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette