Dadah pelbagai jenis bernilai RM121,862.50 yang dirampas di segambut daripada seorang lelaki pada Jumaat lalu. Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM121,862.50 dalam serbuan di Segambut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 39 tahun itu telah ditahan di hadapan sebuah rumah pada jam 3 petang Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada anggota badan suspek, polis berjaya menjumpai 300 biji pil disyaki dadah jenis erimin 5 disimpan di dalam dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, selepas soal siasat suspek, polis mengadakan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Segambut pada hari sama.

Katanya, serbuan itu membawa kepada rampasan satu beg plastik yang mengandungi 1,500 biji pil erimin 5, tiga peket plastik disyaki ketamin, 15 peket plastik kecil disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 20 biji pil estacy.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette