Polis telah memulakan siasatan berhubung satu kes tular di laman sosial melibatkan pergaduhan antara seorang petugas media dan peguam di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berhubung satu kes tular di laman sosial melibatkan pergaduhan antara seorang petugas media dan peguam di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya membuka kertas siasatan selepas kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal polis mendapati pergaduhan ini melibatkan seorang lelaki  yang bertugas sebagai jurufoto sambilan Utusan Malaysia berumur 34 tahun dengan seorang peguam lelaki yang berumur 50 tahun.

“Kejadian berpunca apabila keadaan sesak berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa pasukan peguam sedang menuju ke kamar mahkamah, manakala petugas media sedang membuat liputan bagi keputusan kes pembunuhan CEO Cradle Fund,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Iqbal, dalam pergaduhan itu, jurufoto berkenaan mengalami luka calar di leher dan lengan manakala peguam tersebut mengalami luka di dahi.

“Kedua-dua pihak telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam dan kemudian masing-masing tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Muhamad Ridzuan Bin Ibrahim di talian 013-3050856.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peguam Samirah cedera di dahi bergelut dengan jurugambar