Foto USGS

KABUL – Gempa bumi kuat yang melanda Afghanistan telah mengorbankan kira-kira 1,000 orang dan beratus-ratus lagi cedera.

Pemimpin Taliban, Hibatullah Akhundzada berkata, beratus-ratus lagi rumah musnah.

Malah, angka kematian juga dijangka terus meningkat.

Gempa bumi bermagnitud 6.1 pada kedalaman kira-kira 51 kilometer dengan gegarannya dirasai di lebih 500 kilometer di Kabul, Islamabad, Pakistan dan India.

Ia merupakan gempa bumi yang terburuk dalam tempoh dua dekad.

Sementara itu, Ketua Maklumat bagi wilayah Paktika, Mohammad Amin Hazifi mengesahkan 1,000 orang dilaporkan maut dan dan 1,500 mangsa cedera.

Pasukan pencari dan penyelamat masih mengesan mangsa-mangsa yang masih terperangkap.

Gempa bumi melanda kira-kira 44 kilometer (27 batu) dari bandar tenggara Khost sejurus selepas jam 1.30 pagi waktu tempatan (21:00 Selasa GMT), ketika ramai orang sedang tidur di rumah.

Bencana alam itu menyebabkan kerosakan yang ketara di Afghanistan kerana kediaman di banyak kawasan luar bandar tidak stabil atau tidak dibina dengan sempurna.

Petani tempatan Alem Wafa menangis ketika dia memberitahu BBC bahawa pasukan penyelamat rasmi masih belum sampai ke kampung terpencil Gyan – salah satu lokasi yang paling teruk terjejas.

“Tiada pekerja bantuan tetapi orang dari bandar dan kampung jiran datang ke sini untuk menyelamatkan orang. Saya tiba pagi ini dan saya sendiri menemui 40 mayat.

“Kebanyakan daripada mereka adalah kanak-kanak. Terdapat hospital di sini tetapi ia tidak dapat menangani bencana ini kerana tidak mempunyai kapasiti,” katanya. – BBC