Mohd Hairi Mad Shah

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor merancang memperluaskan hab makanan ringan yang diusahakan usahawan wanita di daerah negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pusat itu akan mengangkat peranan usahawan wanita dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) banyak menyediakan inisiatif dalam pembangunan ekonomi khusus kepada golongan wanita seperti ibu tunggal dan juga wanita B40.

“Bagi pusat pengeluaran makanan ringan oleh usahawan wanita, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) masih memfokuskan kepada program kemahiran dan latihan berterusan.

“Jika boleh, kita mahukan hab makanan ringan ini direalisasikan secepat mungkin pada tahun hadapan, sekiranya ia melibatkan proses pembangunan, ia akan memakan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Kota Iskandar, hari ini. – MalaysiaGazette