KUANTAN – Kadar kes kecurian kenderaan motokar dan motosikal di Pahang meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh sebulan kepada 44 kes pada bulan Mei berbanding 26 kes pada April tahun ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, SAC Noor Hisam Nordin berkata, kes kecurian motosikal mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 37 kes pada Mei berbanding 18 kes pada April.

“Kebanyakan kes kecurian motosikal berlaku dalam daerah Kuantan iaitu sebanyak 20 kes dilaporkan, diikuti Temerloh dengan 11 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, purata satu hingga enam kes kecurian motosikal turut direkodkan berlaku di daerah-daerah lain di negeri ini dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan laporan kehilangan motosikal yang diterima, suspek cenderung melarikan kenderaan itu di kawasan rumah kampung, taman-taman perumahan dan kawasan lot kedai.

“Jika dilihat pada kes-kes kehilangan motokar pula, majoriti berlaku dalam daerah Kuantan dengan sembilan kes dicatatkan, dua di Jerantut selain masing-masing satu kes di Daerah Pekan, Bera, Raub dan Cameron Highlands,” jelasnya.

Lokasi tumpuan suspek mencuri kenderaan motokar juga sama iaitu di taman-taman perumahan dan sekitar kawasan rumah kampung.

Sehubungan itu, Noor Hisam menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika meninggalkan kenderaan masing-masing meskipun dalam kawasan kediaman.-MalaysiaGazette