Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sepang hari ini telah menjatuhkan hukuman terhadap Tulane Sdn. Bhd. (OKS) sebanyak RM40,000 kerana kesalahan melakukan penyambungan bekalan air secara haram pada 26 Oktober 2018, di tapak pembinaan projek Jalan B48-Dari Simpang Tiga ke Jenderam ke Pekan Sepang Lama (Fasa 3).

Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira hujahan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Abd Rahim Saian dan mitigasi daripada wakil OKS, Meor Sharif Hashim, pengarah syarikat.

OKS didapati bersalah kerana telah melakukan penyambungan bekalan air tanpa kebenaran dari sesalur utama awam dengan menggunakan paip poli bersaiz 25mm tanpa melalui meter ke tapak pembinaan tersebut.

Sambungan tidak sah tersebut telah menyalurkan bekalan air ke dalam premis bagi tujuan kegunaan harian pekerja di kediaman sementara di premis berkenaan.

Kesalahan ini adalah di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 123 (3) dengan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu atau kedua-duanya.

Kes pendakwaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

SPAN berkata, aktiviti sedemikian juga dapat membantu dalam pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW) akibat daripada sambungan haram. – MalaysiaGazette