Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memasuki perkarangan Perdana Putra jam 9.25 pagi tadi.

Zuraida dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum sesi mesyuarat Kabinet, hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Ampang itu kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu tidak berganjak dengan pendirian bahawa kuota yang diduduki Zuraida sebagai menteri adalah milik parti itu.

Muhyiddin berkata, Ismail Sabri boleh memberikan atau mewujudkan kementerian baharu buat Zuraida namun kuota itu harus kekal kepada Bersatu.

“Dia nak lantik Zuraida jadi (jawatan) apa pun itu hak dia tapi kuota itu Bersatu punya, dia (Perdana Menteri) tak boleh kata ambil lah.

“Manalah tahu l dia nak wujudkan satu kementerian untuk Zuraida jadi apa pun itu hak dia lah,” katanya dalam sidang media, semalam. – MalaysiaGazette