Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

BENTONG – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memberi jaminan kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpatutan seperti mana Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ketika ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah pun mempunyai rangka kadar tambang ECRL dan ia tidak jauh bezanya dengan kadar tiket ETS.

“Kita ada mekasnime tertentu, di peringkat APAD, kita memang ada kaedah pengiraan. Untuk tambang ECRL, kita akan putuskan kelak tapi berdasarkan formula dan pengiraan yang ada sekarang di mana APAD sudah ada mekanisme untuk menentukan tambang ECRL

“Biasanya bila sesuatu perkhidmatan itu nak ditawarkan, kita akan uar-uarkan lebih awal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri di Bukit Tinggi.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri hari ini yang meminta MOT merangka kadar tambang bagi perkhidmatan ECRL sebelum ia siap sepenuhnya menjelang Januari 2027.

Perdana Menteri berharap kadar tambang bagi pengangkutan awam baharu itu tidak membebankan dan mesra rakyat serta sama seperti Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Dalam pada itu, Ka Siong memberi jaminan kerajaan tidak akan memasukkan kos pembinaan (capex) dalam kadar tambang ECRL.

“Kadar perkiraan kita berdasarkan berapa kadarnya untuk 1 kilometer (km) akhirnya bila dijumlahkan tidak membebankan rakyat.

“Ini kerana kita tidak memasukkan komponen capex, kalau capex dimasukkan, bermaksud kita kena minta balik pulangan apa yang kita telah lakukan, ini tidak.

“Kalau kita masukkan kos tersebut (capex) ia akan jadi satu jumlah yang besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MOT diminta rangka kadar tambang ECRL mesra rakyat – PM