Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mencapai liputan komunikasi 100 peratus menjelang tahun 2025 dengan adanya satelit Measat-3d yang baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi satelit yang baharu itu, capaian komunikasi menjadi lebih pantas dan matlamat yang terkandung dalam pelan tindakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) tercapai.

“Kita telah siapkan roadplan menjelang tahun 2025… kita dah capai tahap liputan 100 peratus dan purata kelajuan keseluruhannya sekurang-kurang 25mps.

“Jadi, matlamat yang ada dalam blueprint itu kena tercapai sepenuhnya dengan adanya Measat-3d yang dilancarkan hari ini,” katanya kepada media selepas menyaksikan pelancaran satelit Measat-3d secara hibrid di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurut Annuar, menerusi perkembangan itu ia bukan
sahaja menjadi sejarah tetapi sangat penting kepada usaha untuk menjayakan sepenuhnya pelan digital negara yang sedang dijalankan ketika ini.

Katanya, jangkaan liputan yang boleh dicapai mampu menghubungkan kawasan-kawasan dengan menggunakan kaedah jaringan gentian optik.

Terdahulu hari ini, negara mencatatkan sejarah sekali lagi apabila berjaya melancarkan satelit Measat-3d pukul 5.50 pagi waktu Malaysia.

Pelancaran Measat-3d itu dilakukan di Kourou, French
Guiana, Amerika Selatan menggunakan roket Ariene 5.

Majlis pelancaran yang dipancarkan secara langsung turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa Menteri Kabinet.

Measat-3D merupakan satelit kelapan Malaysia sejak kali pertama dilancarkan pada 1996 yang merangkumi satelit komunikasi menawarkan perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa. – MalaysiaGazette