Najib (kiri) dan Rafizi.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Rafizi Ramli tidak faham mengenai dasar ekonomi dan fizikal.

Dakwaan tersebut dibuat selepas Rafizi yang secara tidak rasmi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR mengkritik ‘formula subsidi’ yang dikemukakan oleh Najib.

“Inilah jenis orang songsang yang langsung tak faham dasar ekonomi dan fiskal.

“Ya, saya potong subsidi pukal untuk beralih ke subsidi bersasar seperti minyak masak berpaket sebab subsidi pukal lebih memanfaatkan orang kaya dan penyeludup yang akhirnya memanfaatkan rakyat di negara-negara jiran.

“Ya, antara akibatnya ialah defisit kerajaan serta nisbah hutang negara turun sembilan tahun berturut. Tapi penjimatan darinya dialih terus kepada pemberian wang tunai dalam pelbagai skim seperti bantuan sekolah, pemansuhan yuran sekolah, bantuan BR1M, Kad Siswa yang tidak pernah wujud sebelum saya menjadi PM,” katanya.

Melalui pemberian wang tunai, Najib berkata, rakyat boleh memilih cara untuk membelanjakan bantuan tersebut berbanding mereka terpaksa menerima dasar subsidi pukal.

Berkaitan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menurut Najib, kerajaan Barisan Nasional melaksanakannya tanpa menaikkan defisit kerajaan, menaikkan kebergantungan kepada hasil minyak mahupun menjarah dana Petronas.

“Malah, defisit kerajaan menurun bagi sembilan tahun berturut. Dengan itu, nisbah hutang negara kepada KDNK turut menurun setiap tahun. Kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak juga turun setiap tahun.

“Rizab bersih Petronas pula naik dari RM30 bilion ke RM176 bilion pada bulan Mei 2018 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Dalam tempoh masa enam tahun nilai bayaran BR1M naik empat kali ganda dari RM500 pada tahun 2012 ke RM2,000 bagi tahun 2018,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Malah kata Najib, jika melihat kepada rekod pemberian dan sekiranya kerajaan tidak bertukar pada PRU-14 jumlah bantuan BR1M mungkin akan meningkat kepada RM2,300 atau RM4,000 tahun ini.

“Bagaimana pula dengan kerajaan PH dengan formula-formula songsangnya? Defisit naik semula. Hutang negara dan nisbah hutang naik. Kebergantungan kepada hasil minyak naik. Petronas dijarah RM84 bilion. Aset-aset negara dijual satu persatu.

“Nilai aset Khazanah jatuh 30 peratus berbanding kenaikan hampir empat kali ganda dari RM32 bilion ke RM116 blion sepanjang tempoh saya PM.

“Ekonomi laju merudum. Dividen dan hibah menjunam. Formula tak boleh pakai. Bantuan dan BR1M naik? Tak. 30 ringgek kamu dapat. Pelbagai bantuan lain dimansuhkan,” sindir Najib.

Dalam Twitternya, Rafizi berkata, beliau mempunyai hobi baru iaitu berkawan dengan dengan ‘Pak Cik Google’ untuk membongkar apa yang didakwa sebagai putar belit Najib.

Siri pertama yang dinamakan #SayaPutarJib telahpun diterbitkan dalam blognya dua hari lalu.

“Putar belit Najib ini mungkin ditelan hidup-hidup oleh pengikutnya tetapi majoriti rakyat masih ingat kebencian Najib terhadap subsidi.

“Sebaik menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009, antara dasar pertama yang dilaksanakan ialah memotong subsidi dengan sasaran menghapuskan terus subsidi.

“Oleh kerana ini zaman internet, semua putar belit Najib boleh sahaja dibongkar dengan bantuan Pak Cik Google,” kata Rafizi.-MalaysiaGazette