Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong gambar mesin pengorek terowong (TBM) selepas perasmian tapak Pengorekan Terowong Genting projek Laluan Rel Patai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

BENTONG – Sebanyak RM7 bilion nilai kontrak bagi kerja-kerja sivil telah ditawarkan kepada sub kontraktor dan pembekal tempatan di negeri-negeri Pantai Timur dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), setakat April lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian kontrak itu melibatkan lebih 1,500 syarikat tempatan yang terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

“Ini sejajar dengan persetujuan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) untuk melantik sub kontraktor dan pembekal tempatan.

“Sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja-kerja sivil projek ini diberikan kepada syarikat tempatan yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion,” katanya pada Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di Bukit Tinggi, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Kelantan; Datuk Ahmad Yakob , Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong.

Turut hadir Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak; Naib Presiden CCCC, Sun Ziyu dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan CCCC bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

“MRL bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan Projek ECRL dari China EXIM Bank.

“Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.

Katanya lagi, CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka.

Bagi tujuan itu, sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

“Projek ECRL ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKIECRL).

“Warga tempatan disarankan supaya merebut peluang menjalani program latihan teknikal PLKI-ECRL yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

“Seramai 1,800 pelatih akan diserapkan bagi fasa pembinaan ECRL dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette