KUALA LUMPUR – Institut Intergriti Malaysia (IIM) melancarkan Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi untuk membantu organisasi komersial memahami kaedah pencegahan rasuah yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan.

Manual berkenaan mengandungi lima prinsip utama iaitu Komitmen Pengurusan Atasan, Analisa Risiko, Pelaksanaan Langkah Kawalan, Pemantauan Penilaian dan Penguatkuasaan Secara Sistematik termasuk Latihan dan Komunikasi.

Ahli Lembaga Pengarah IIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berharap manual ini akan dapat meningkatkan pemahaman berkenaan kepentingan pelaksanaan Tatacara Mencukupi dalam kalangan syarikat-syarikat komersial seluruh negara.

“Agar syarikat-syarikat dan organisasi akan dapat pendedagan ke tahap lebih tinggi,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dalam masa yang sama beliau berkata, IIM membentuk tiga jawatankuasa kerja untuk memastikan garis panduan dalam manual berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.

Tiga jawatankuasa kerja berkenaan adalah Jawatankuasa Kerja Pembangunan Modul, Jawatankuasa Kerja Pengurusan Projek dan Pelaksanaan Latihan dan Jawatankuasa Kerja Pemantauan, Pelaporan dan Penilaian.

Ahmad Tajuddin berkata, ketiga-tiga jawatankuasa kerja berkenaan untuk memastikan memastikan gerak kerja dan pencapaian objektif inisiatif ini tercapai secara komprehensif.

“Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi perlu dilaksanakan dengan berkesan dan produktif dengan mengambil kira kesesuaian industri, sektor dan syarikat komersial yang akan disasarkan,” tambahnya.

Sebagai rekod, Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi merupakan komitmen IIM bersama rakan peneraju yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuklah agensi persekutuan dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan. – MalaysiaGazette