Bomba memadam api yang menjilat sebuah kedai makan di Jalan Rahmat, pagi tadi. Gambar ihsan: Bomba Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah kedai makan di Jalan Rahmat, di sini, terpaksa berputih mata apabila gerai yang menjadi punca rezekinya musnah dalam kebakaran, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.32 pagi tadi dan tiba di lokasi tujuh minit selepas itu.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian api sedang marak pada keseluruhan kedai yang berkeluasan 20×30 kaki persegi itu.

“Dengan kepantasan anggota bomba membuat pemadaman mengunakan kaedah pemadaman secara offensive firefigthing telah mengelakkan daripada kemerebakan ke lot bersebelahan.

“Kebakaran telah berjaya di kawal pada jam 10:45 dan tiada mangsa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke lot bersebelahan.

Ujarya, kedai makan itu musnah hampir 80 peratus dan ketika ini punca kebakaran masih lagi dalam siasatan. – MalaysiaGazette