Shahar Abdullah ketika walkabout Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Fresh Choice, Taman Tas, Kuantan, Pahang pada hari ini

KUANTAN – Seramai 218,322 pengunjung memanfaatkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di negeri ini sejak ia dilancarkan tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Shahar Abdullah berkata, program berkenaan juga telah dijalankan di 145 lokasi dengan jualan sebanyak RM4,497,653.90.

“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.

“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus walkabout Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Fresh Choice, Taman Tas, Kuantan, Pahang pada hari ini.

Tambah Shahar, Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

“Orang ramai khususnya rakyat Pahang boleh buat ke talian whatsapp di 019-279 4317 bagi membuat pertanyaan atau aduan kepada pihak KPDNHEP Pahang,” katanya.

Terdahulu PJKM telah dilancarkan secara rasminya oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2hb Disember 2021 di Lembai Pantai, Kuala Lumpur.

PJKM telah diperluaskan seluruh negeri di Malaysia bermula pada 4hb Disember 2021 sehingga kini.

Pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette