Enam sainstis Malaysia yang mewakili negara bagi mesyuarat Nobel Laureate di Jerman.

KUALA LUMPUR – Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam mesyuarat Nobel Laureate ke-71 berlangsung di Lindau, Jerman yang berlangsung pada 26 Jun sehingga 1 Julai 2022.

Mereka akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia dalam mesyuarat yang kini dilaksanakan secara fizikal selepas tahun 2021 yang dilakukan secara dalam talian.

Mereka adalah Dr. Enis Nadia Md. Yusof daripada Universiti Sains Malaysia, Dr. Goh Choon Fu (Universiti Sains Malaysia), Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman (Universiti Sains Malaysia), Dr. Oh Wen Da (Universiti Sains Malaysia), Dr. Sazlinda Kamaruzaman (Universiti Putra Malaysia) dan Dr. Low May Lee daripada International Medical University Malaysia (IMU).

Malaysia menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 81 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004.

”Mesyuarat Nobel Laureate ini adalah satu platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini juga mendedahkan mereka kepada contoh teladan saintis serta memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” kata Presiden ASM, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc.

Mesyuarat Nobel ke-71 tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia.

Dianggarkan sejumlah 35 Pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat ini dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

Untuk makluman, pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda IPTA dan IPTS seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Akademi Sains Malaysia (ASM).

Sebanyak 25 pencalonan telah diterima bagi tahun ini dan saringan awal dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel untuk pemilihan. – MalaysiaGazette