Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan mendakwa produktiviti negara akan merosot sekiranya kerajaan melaksanakan dasar waktu kerja empat hari dalam seminggu.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, dasar tersebut tidak sesuai untuk Malaysia kerana struktur ekonomi dan keadaan negara berlainan berbanding negara barat.

Tegas beliau, berdasarkan data, purata pendapatan bulanan rakyat negara ini kurang RM3,500 pada April lalu, sekali gus membuatkan ia bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan dasar bekerja empat hari seminggu.

“Kita membantah pelaksanaan dasar sebegini tambahan pula, ketika ini negara sudah tergolong dalam kategori mempunyai cuti umum yang banyak di seluruh dunia jadi tidak ada keperluan untuk kurangkan lagi waktu kerja.

“Selain daripada cuti umum, cuti tahunan, cuti sakit, cuti urusan peribadi, cuti bersalin dan cuti tanpa gaji yang dinikmati pekerja, setiap negeri juga mempunyai cuti khas masing-masing, contohnya hari keputeraan raja-raja, Hari Bandar Warisan Dunia George Town serta cuti khas turut dibenarkan sekiranya pasukan bolak sepak negeri tertentu memenangi pertandingan bola sepak.

“Lambakan cuti sebegini jelas menunjukkan negara kita tidak sesuai melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu yang bakal memberi impak kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan harus meneliti impaknya secara menyeluruh sebelum melaksanakan dasar kerja empat hari kerana negara juga kini dalam status pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette