Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa bahawa kerajaan tidak memansuhkan subsidi malah meningkatkan lagi pemberiannya diselar Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menganggap kenyataan tersebut sebagai berita palsu berkata, bagaimana kerajaan boleh membantu golongan miskin dengan menghapuskan subsidi sedangkan harga barangan semakin naik.

“Dengan penjimatan RM960 juta tetapi hanya memberikan bantuan tambahan RM630 juta, kerajaan berjaya berjimat RM330 juta dengan mengorbankan golongan miskin yang menderita akibat kenaikan harga.

“Bagaimanakah Annuar boleh mendakwa bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi apabila subsidi minyak masak (kecuali peket 1kg), telur dan ayam berjumlah RM960 juta digantikan dengan hanya RM630 juta sebagai bantuan tambahan? soal Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu merujuk kepada kenyataan Annuar bahawa kerajaan tidak menarik balik subsidi yang diberikan kepada rakyat, malah meningkatkan lagi pemberiannya bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Menurut Annuar lagi, kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah kos sara hidup dihadapi rakyat, sehingga telah menampung sejumlah RM43 bilion subsidi untuk pelbagai perkara.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Annuar selaku ahli jemaah menteri perlu menunjukkan teladan yang baik dengan tidak menyebarkan berita palsu bahawa kerajaan tidak memansuhkan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak berbotol sebaliknya meningkatkan nilainya untuk membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat kenaikan harga sekarang.

“Annuar berkata demikian sehari selepas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri mengenai bantuan tambahan RM100 dan RM50 kepada isi rumah B40 dan individu yang belum berkahwin berjumlah RM630 juta bagi membantu mereka yang terkesan akibat pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak (kecuali peket 1kg).

“Dakwaan Annuar bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi dan mengkaji semula subsidi sebelum ini supaya pelaksanaannya akan lebih berkesan tidak mempunyai merit dan tidak disokong oleh fakta dan angka,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion untuk tahun ini, bagi menanggung kategori minyak masak paket 1kg.

Perdana menteri berkata, program subsidi yang telah bermula sejak Jun 2007 itu merupakan subsidi ditanggung kerajaan bagi minyak masak paket berharga RM2.50 1kg untuk kegunaan golongan B40, berbanding harga pasaran RM9. – MalaysiaGazette