KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin untuk mempertahankan kerusi Parlimen di Johor yang dimenangi parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, keyakinan untuk memenangi semula kerusi Parlimen milik Amanah itu kerana beranggapan Johor bukan lagi kubu kuat UMNO.
Serentak itu Mohamad mahu pemimpin dan jentera parti Amanah bekerja lebih kuat dalam memastikan rakyat Johor berpihak semula kepada parti tersebut dan Pakatan Harapan dalam PRU-15.
“Kita melihat, Johor bukan lagi kubu Umno. Maka seluruh kepimpinan dan jentera kita harus konsisten dan bekerja kuat.
“Insya-Allah, PRU nanti kita akan kembali menguasai dan mempertahankan kerusi Parlimen yang telah kita menangi,” katanya.
Tambah Mohamad, negeri yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia itu telah menjadi tapak parti itu dan sekutu dalam Pakatan Harapan sejak tahun 2008 lagi.
Kemuncaknya, Pakatan Harapan berjaya menguasai Johor dan mentadbir negeri itu pada PRU-14.
“Hadir ke majlis Pertemuan Anak Johor di perantauan malam di Bangi malam tadi.
“Johor sudah menjadi pertapakan yang baik buat Pakatan Rakyat sejak 2008 dan sokongan terus berkembang ke Pakatan Harapan pada 2018,” katanya di media sosial.
Pada PRU-14 Amanah bertanding dua kerusi Parlimen di Johor dan berjaya memenangi satu kerusi.
Sementara parti sekutu dalam Pakatan Harapan termasuk Bersatu yang bertanding di bawah logo PKR berjaya menguasai 18 kerusi Parlimen.
PKR yang bertanding lapan kerusi memenangi tujuh daripadanya, DAP memperoleh 5 daripada 6 kerusi dan Bersatu lima daripada 10 kerusi.
Keseluruhan PH memenangi 18 kerusi Parlimen manakala BN pula lapan kerusi pada PRU-14.
Bagaimanapun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada Mac lalu PH mengalami kekalahan teruk berbanding dalam pilihan raya yang diadakan pada 2018.
PH menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara BN pula hanya 19 kerusi.
Namun pada Mac lalu BN menang 40 kerusi manakala PH campur Muda hanya berjaya menguasai 13 kerusi.-MalaysiaGazette