Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kilang-kilang eksport dengan penggunaan elektrik tinggi dicadangkan  dikenakan surcaj yang munasabah.

Datuk Seri Najib Razak berkata, surcaj ini adil sebab ke negara mana pun mereka pergi, kos elektrik sudah naik sangat tinggi.

Menurutnya, surcaj ini munasabah kerana tarif elektrik bagi kilang di sini dijangka masih lebih rendah berbanding negara asing agar daya penarikan pelaburan asing ke Malaysia tidak terjejas.

Lagipun, ianya tak masuk akal pengguna elektrik domestik rakyat Malaysia perlu membayar tarif lebih tinggi berbanding kilang ekport besar yang dimiliki pelabur asing.

”Hasil dari surcaj ini mampu dialihkan untuk menjimat beban subsidi kerajaan secara terus ataupun diberi semula sebagai bantuan kepada rakyat,” kata bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, kilang-kilang eksport ini boleh memohon untuk dikecualikan surcaj tersebut dengan syarat sekurang-kurangnya 30% daripada pengeluaran mereka dibekal kepada pasaran tempatan terutamanya jika bekalan mereka mempunyai impak ke atas kos barang-barang bagi pasaran tempatan.

Jelas beliau, langkah ini juga boleh memastikan permintaan pasaran tempatan dapat dipenuhi dan Malaysia tidak mengalami masalah kekurangan bekalan.

Katanya, kerajaan terpaksa menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion bagi pengekalan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia biarpun kos bahan api penjanaan telah naik tiga hingga empat kali ganda selepas ekonomi dibuka semula.

Sedangkan, tarif elektrik domestik bagi isi rumah dengan penggunaan yang banyak boleh menjadi lebih tinggi berbanding tarif industri bagi kilang-kilang dan perbezaannya bukan kecil.

”Tarif domestik boleh sampai 57.10 sen/kWh manakala tarif bagi kilang ialah antara 20.20 sen/kWh hingga 44.10 sen/kWh. Ini bermaksud kerajaan sedang memberi subsidi yang tinggi kepada pemilik kilang-kilang eksport termasuk yang dimiliki orang asing.

”Secara tidak langsung, pengguna asing yang dibekalkan kilang-kilang eksport turut mendapat subsidi Kerajaan Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette