Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan memakai baju daripada jenama Burberry ketika melawat merasmikan Pantai Floria ketika menghadiri ke Karnival Jom Heboh dan Hari Rekreasi Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – Hari ini tular satu gambar di media sosial memaparkan harga sebenar pakaian yang dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu acara di Putrajaya, semalam.

Entri yang dimuat naik di Facebook itu mendedahkan harga sebenar baju jenama Burberry yang dipakai Ismail Sabri dan menarik perhatian Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam kenyataan sinikal terhadap Ismail Sabri, beliau berkata: “Ketika kos sara hidup meningkat…Pelik juga PM utamakan Bahasa Kebangsaan tapi utamakan jenama penjajah,” sindir Nik Nazmi.

Ismail Sabri pada program walkabout di Hari Rekreasi Putrajaya 2022 dan Karnival Jom Heboh semalam dilihat memakai baju berwarna merah jambu dengan beberapa tulisan tertera di baju berkenaan.

Dalam carian di laman sesawang mendapati, baju yang sama dijual di Burberry pada harga RM6,900.

Mei lalu, baju yang dipakai Ismail Sabri Yaakob semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura di Tokyo juga menjadi buah mulut pengguna media sosial.

Netizen mendakwa baju bercorak hitam, biru dan putih itu adalah daripada jenama mewah British Burberry dan berharga empat digit.

Menurut laman web Burberry Malaysia, baju itu berharga RM5,500. – MalaysiaGazette