Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap pada media selepas selesai Majlis Perasmian Kempen Media 'Anak Malaysia Sihat' 2022 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Pas Kelantan menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu berhubung pembinaan panggung wayang di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kerajaan Kelantan bukan tidak mahu mewujudkan panggung wayang untuk hiburan rakyat di negeri berkenaan sebaliknya, melihat terdapat perkara-perkara yang tidak dipatuhi sekiranya ia dibenarkan.

Katanya, Pas melihat sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan mesti boleh membawa kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Sebenarnya di Kelantan kita ada peraturan tribunal, kemudian kita ada garis panduan nak bina panggung wayang.

“Bukan kita sekat, tapi apabila tak dipatuhi peraturan itu jadi itu mungkin jadi penyebab…sebab kita melihat dari sudut bagaimana setiap pembinaan program yang dibuat itu memberi kesan positif kepada masyarakt.

“Jadi, saya kira mungkin itu adalah PBT (bina panggung wayang) sebab ini di bawah PBT. Mungkin Exco PBT boleh jawablah pasal isu ni,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Malaysia Sihat di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai ciapan oleh bekas ketua pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath berkenaan tindakan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menonton filem di sebuah panggung di ibu negara, baru-baru ini.

Tingkah laku Ahmad Fadhli itu mendapat teguran pelbagai pihak dengan ada yang menyifatkan tidak wajar beliau berbuat demikian.

Ini kerana, Pas yang dikatakan kuat mempelopori negeri Kelantan dengan mentadbir negeri mengikut lunas Islam, hingga mengharamkan pembinaan panggung wayang, namun, sikap yang ditunjukkan Ahmad Fadhli itu menggambarkan sebaliknya.

Khalid Ismath melalui ciapannya semalam berkata, “Di Kelantan, bila rakyat minta bina panggung wayang, Pas kata haram tetapi ulama Pas pergi tengok wanyangdi KL tak pula haram,” katanya.

Ciapan Khalid itu mendapat reaksi pantas daripada pengukutnya dengan ramai dikalangan mereka memberikan pendapat berbeza-beza.

Sebelum ini, Pemuda Pas menerusi hantaran di Facebook mempertahankan tindakan Ahmad Fadhli apabila menyatakan tidak haram menonton wayang sebagaimana dilakukan Ketua Pemudanya itu.

Bagaimanapun pengendali laman sosial berkenaan yang dikenali sebagai Zack menjelaskan pendirian Pemuda Pas yang menyatakan panggung wayang tetap dikategorikan haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

Ahmad Fahli baru-baru ini menonton filem Mat Kilau yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bersama beberapa rakannya.

Pada 18 Mei lalu, PAS melalui media sosialnya mengetengahkan filem berkaitan penentangan tokoh pejuang kemerdekaan Mat Kilau dalam melawan penjajah Inggeris.

Filem itu membariskan pelakon terkenal seperti Adi Putra (Mat Kilau), Fattah Amin (Awang), Beto Kusyairi (Wahid), Ali Karimi (Brahim), Johan Asari (Yassin) dan Yayan Rujian (Toga) dari Indonesia. – MalaysiaGazette