Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Semua parti politik, badan bukan kerajaan dan persatuan pelajar di seluruh negara perlu mengadakan sesi ‘Di manakah silapnya?’.

Cadangan tersebut dilontarkan pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang selepas mendakwa Malaysia gagal mencapai potensi untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dalam tempoh lebih enam dekad pembinaan negara.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, sesi tersebut juga boleh dijadikan platform untuk Malaysia menyusun semula langkah untuk terus bergerak ke hadapan.

“Bolehkah kita tetapkan semula dan kembali kepada dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

“Di manakah Silapnya?” harus menjadi soalan yang ditanya oleh setiap rakyat Malaysia yang patriotik, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, umur atau jantina jika kita mahu memenuhi potensi Malaysia untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia,” kata Kit Siang.

Dalam perkongsian di media sosial, Kit Siang mendakwa Malaysia telah gagal untuk mencapai Wawasan 2020 untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu dan maju.

Negara juga katanya, gagal mewujukan sebuah bangsa Malaysia yang disemai dengan nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur.

Selain itu Malaysia juga menurut Kit Siang, gagal menjadi masyarakat yang penyayang, adil dan saksama dari segi ekonomi, progresif dan makmur, dan memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, teguh dan berdaya tahan.

“Kita telah gagal mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk berada di atas kedudukan purata global dan berada dalam satu pertiga teratas negara dalam standard pendidikan antarabangsa.

“Slogan 1Malaysia telah digantikan dengan skandal 1MDB.

“Malaysia telah hilang arah dalam pembinaan negara selepas 65 tahun, gagal menjadi harimau ekonomi atau negara hebat bertaraf dunia,” katanya.

Beliau menambah, dalam tempoh setengah abad yang lepas Malaysia telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Vietnam.

Kit Siang turut mempersoalkan, adakah Malaysia juga akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

“Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 Malaysia?” tanya Kit Siang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast