Rais Yasin

MELAKA – Melaka akan melancarkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka pada September ini dalam usaha memperkasakan lagi ekosistem TVET di negeri ini.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, majlis pelancaran akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali seawal Ogos atau September ini.

Menurutnya, majlis berkenaan akan dipengerusikannya sendiri bersama 15 anggota antaranya daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kolej Komuniti, Politeknik Melaka dan Akademi Laut Malaysia, Melaka.

“Penubuhan Majlis TVET ini bertujuan memperkasakan bidang kemahiran ini agar penuntutnya sudah bersedia di peringkat sekolah sebelum diserap ke dalam industri.

“Majlis ini akan bekerjasama dengan pemain-pemain industri bagi memastikan graduannya bersedia untuk terus dipasarkan kepada syarikat-syarikat yang telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Ke-25 peringkat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di Auditorium Majid Al-Azim di sini hari ini.

Sebahagian daripada graduan sijil pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Ke-25 peringkat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di Auditorium Majid Al-Azim, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kawalan Teknikal JTM, Dr. Azmir Mohd Yunus dan Pengarah ILP Bukit Katil Noor Ariffin bin Mohd Ariff @ Haris.

Mengulas lanjut, Rais berkata, secara keseluruhannya Melaka mempunyai 44 institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dan hampir 60 peratus daripadanya menawarkan bidang TVET.

“Dengan adanya Majlis TVET Melaka ini, kita akan pastikan bidang teknikal ini dapat dijadikan bidang utama supaya IPT di Melaka ini pelajarnya sudah bersedia bila tamat pengajian.

“Seperti diketahui, Melaka adalah sebuah negeri industri yang mana banyak kilang dan kemahiran diperlukan,” katanya. – Malaysia Gazette.