Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media khas mengenai pemecetan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO di Hotel Eastin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PETALING JAYA – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa persetujuan UMNO untuk menamakan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) hanyalah umpan untuk Perdana Menteri  membubarkan Parlimen.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang PRU-15 maka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri.

“(Isu) pakai poster boy (Ismail). Ini semua umpan untuk PM setuju adakan PRU-15. Bila ada PRU-15, kalau menang, UMNO jadi main komponen, dia (Zahid) nak jadi PM.

“Janji poster boy Ismail tak boleh pakai. Zahid akan atur siapa calon-calon bertanding di Parlimen. Itu sebab dia nak pegang (Presiden UMNO),” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Sebelum ini, MKT UMNO sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai poster boy dan sekali gus sebagai calon Perdana Menteri ke-10 bagi menghadapi PRU-15.

Dalam pada itu, Tajuddin juga mendakwa Ahmad Zahid sedang mengaturkan siapa yang akan dicalonkan untuk bertanding pada PRU-15.

Malah katanya gerakan itu sudah digerakkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan.

“Sudah berjalan pun sekarang. Di kawasan saya saya sendiri jadi sasaran, saya sudah empat penggal.

“Takpalah tapi gerakan itu sudah merata. Kita tak kisah asalkan UMNO menang tubuh kerajaan kuasa Melayu ditegakkan semula. Kalau cara dia buat macam itu payah nak menang,” dakwa Tajuddin lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ismail Sabri merupakan pemimpin paling layak untuk bertanding pada pemilihan UMNO akan datang.

Katanya, Ismail Sabri mempunyai sokongan akar umbi dan sesuai untuk menggantikan Ahmad Zahid sebagai Presiden.

“Ismail Sabri (paling layak) ganti Zahid. Adakan pemilihan parti, masa itu PM jadi presiden barulah cantik. Takkan ada dua nakhoda. Zahid ada masalah, macam mana nak jadi Perdana Menteri dan presiden.

“Kalau dulu dulu secara tradisi orang yang ada kes begini letak jawatan terus tak terlibat parti dan kerajaan. Ini pertama kali orang ada kes terus nak pertahankan jawatan dia,’ katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast