Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 3 Ogos depan bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu dokumen yang dipercayai ada kaitan Low Taek Jho atau Jho Low.

Selain dokumen berkaitan ahli perniagaan dalam buruan itu turut dimohon dokumen berkaitan ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib memohon perintah mahkamah menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan dana RM2.3 bilion.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mustafa P Kunyalam selepas prosiding atas talian di hadapan Penolong Pendaftar Kanan, Nurul Azrina Mohamed Yusof di sini hari ini.

Untuk makluman, sebelum ini, tarikh pendengaran sepatutnya 23 Jun namun ditangguhkan selepas peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat untuk hadir prosiding tersebut.

Sebelum ini, pada 12 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang ketika ini sedang mendengar perbicaraan 1MDB menolak permohonan mendapatkan dokumen berkenaan kerana melihatnya sebagai tindakan pramatang.

Sequerah mendapati tidak relevan dokumen-dokumen itu dengan kes yang sedang berjalan itu.

Sequerah juga menolak permohonan kedua Najib untuk mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner dengan mengatakan responden sudah menjelaskan ia tidak memiliki dokumen tersebut.

“Pembelaan tidak boleh mengarahkan pendakwaan bagaimana cara mengendalikan perbicaraan mereka. Sudah terbukti rekod telefon yang diminta tertuduh (Najib) bukan sebahagian daripada kes pendakwaan terhadapnya dan oleh itu pihak pendakwaan tidak wajib memberikan dokumen ini,” katanya.

Najib memfailkan notis usul memohon perintah mahkamah bagi pihak pendakwaan mengemukakan beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat-syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDB yang dihadapinya.

Beliau kemudian memfailkan permohonan kedua pada 7 April lalu bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik terhadap telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib ketika ini berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.-MalaysiaGazette