Peniaga pasar borong Mohd Shahrizuan Alias, 32, dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan menyebabkan anak sepupunya yang juga seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) terdedah dengan dadah jenis methamphetamine dan morfin di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Kuala Krai.

KOTA BHARU – Seorang peniaga hari ini dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) terdedah dengan dadah jenis methamphetamine dan morfin.

Mohd Shahrizuan Alias, 32, turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000 dan diperintahkan menjalani 180 jam khidmat masyarakat.

Hakim Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahrizuan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan telah mendedahkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan itu kepada sesuatu yang membahayakan tubuh badan iaitu dadah jenis methamphetamine dan morfin, sehingga menyebabkan mangsa mengalami ‘drug toxicity’ (lebih dos dadah).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang juga anak sepupunya di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Kuala Krai dekat sini pada 3 petang 18 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setimpal terhadap tertuduh kerana cuai menjaga kanak-kanak itu yang merupakan kanak-kanak kurang upaya.

Mohd Shahrizuan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana menyara keluarga dan bekerja sebagai peniaga pasar borong.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal akibat terdapat kandungan dadah berlebihan dalam badan.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 Jun lepas Hospital Gua Musang menerima pesakit kanak-kanak yang dibawa ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan.

Setelah memeriksa keadaan mangsa, saringan ujian air kencing mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin yang dipercayai terlebih dos sehingga kritikal dan pada 10 malam, 19 Jun tertuduh ditangkap selepas aduan dibuat.

Sehari sebelum kejadian, tertuduh memaklumkan kepada kakak sulung mangsa untuk membawa mangsa mandi di sungai bersama anak lelaki tertuduh dan rakan tertuduh yang berada di situ memberitahu mangsa kelihatan seperti mengantuk.

Tertuduh telah meninggalkan mangsa yang merupakan pemegang kad OKU kategori Global Development Delay (GDD) atau lewat perkembangan yang memerlukan bantuan dalam setiap aspek kehidupan, dalam keretanya (tertuduh) sedangkan tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap dadah yang ditinggalkan dalam keretanya. – BERNAMA