Shahril Sufian Hamdan (kiri) dan Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media semalam menjadi ‘peluru’ kepada musuh politik UMNO.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, kenyataan yang dibuat oleh Tajuddin menjadikan musuh UMNO bersorak gembira.

“Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan-dakwaan tersebut adalah pihak lawan.

“Segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO. Naratif lawan akan jadi mudah – “bagaimana UMNO hendak jual kestabilan kalau dalam UMNO sendiri tak berpadu?,” katanya.

Shahril menegaskan, Tajuddin tidak sepatutnya mempertikaikan secara terbuka pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy‘ Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sedangkan katanya, pemilihan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 telah diputuskan oleh kepimpinan secara bersama.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak sepatutnya menimbulkan curiga sehingga melemahkan calon PM daripada parti sendiri.

“PAU (Perhimpunan Agung UMNO), PAU Khas, Konvensyen BN sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihan raya. Parti dah buat keputusan. Presiden dan timbalan jaga parti, PM jaga kerajaan. Bergerak seiring. Soal lantikan MKT, hak presiden. Presiden menang bertanding, hak institusi itu mesti dihormati.

“Soal lantikan Kabinet, biar PM uruskan. Tiada keperluan pertikai persoal terbuka dan menambah perasa. Beliau Naib Presiden, beliau “poster boy” yang telah direstui dan diputuskan oleh Presiden, Timbalan, MKT dan umumnya, parti.

“Tak perlu timbulkan curiga. Takkan orang UMNO rasa elok nak lemahkan PM dan calon PM sendiri?” katanya.

Shahril turut menegaskan, tidak sepatutnya pihak dalam UMNO mengungkit cerita lama dan kemudian ditokok tambah.

Katanya, hadir dalam mana-mana perjumpaan tak semestinya bermakna menyokong apa-apa gerakan.

“Presiden sendiri lebih tahu dan sudah lama tahu tentang hal ini dan biarlah beliau yang mengadili,” kata Shahril.

Beliau turut kesal kerana cybertrooper UMNO telah digerakkan untuk menyerang ahli parti sendiri.

Malah katanya, kejadian adu domba berlaku tiap-tiap hari dengan mesej tular melabel orang tertentu menjadi kluster Putrajaya dan kluster PWTC.

Terdapat spekulasi berterusan kononnya akan ada individu tertentu dipecat daripada UMNO serta siapa yang akan menjadi calon dan tidak terpilih dalam PRU-15.

Cybertrooper UMNO juga digunakan untuk menyerang presiden dan perdana menteri.

“Satu hari ada pihak kata PM lemah. Sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

“Hari lain pula ada pihak kata presiden liabiliti dan lemah juga. Sedangkan lemah macam mana kalau dah memimpin kejayaan 7-0 dalam pilihan raya?” kata Shahrir.

Menurut Shahrir UMNO sepatutnya kini berada dalam ambang kemenangan dan tidak sepatutnya pihak berkenaan mahu mengundang perpecahan dan kekalahan.

Dalam sidang media semalam, Tajuddin yang baru digugurkan daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuka pekung dalam parti termasuk sokongan Zahid kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri hanya dipergunakan sebagai ‘poster boy‘ untuk BN menang dalam PRU-15 dan selepas menang pemimpin lain akan diangkat menjadi perdana menteri.-MalaysiaGazette