Logo UPM

SERDANG – Kolej 17 Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan nama baharu iaitu Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bagi Kolej 17 baru-baru ini.

Pengetua Kolej 17, Prof Madya Dr Jasronita Jasni berkata, pertukaran nama tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil dalam usaha penjenamaan semula nama-nama kolej kediaman berinspirasikan nama tokoh terkemuka yang berkaitan
dengan bidang pelajaran pelajar.

Menurutnya, Allahyarham Mustaffa merupakan tokoh akademik terkemuka dalam bidang perubatan, perubatan veterinar serta sains kesihatan yang telah banyak menyumbang bakti sama ada di peringkat kebangsan mahupun
antarabangsa.

”Usaha penjenamaan semula kolej ini juga telah bermula sewaktu Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyandang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor UPM manakala Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali sebagai pengetua Kolej 17,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM itu turut meraikan pelajar yang telah berbakti kepada Kolej 17 sepanjang sesi 2021/2022.

Jasronita berkata, beliau mahu pelajar Kolej 17 dapat melahirkan kelompok graduan yang berkualiti dan memenuhi kehendak keperluan pekerjaan yang semakin kompetitif.

”Perkara ini sejajar dengan Matlamat Satu dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

”Justeru itu, penganjuran program yang bersifat holistik adalah penting untuk membentuk keseimbangan spiritual, fizikal, emosi dan intelek bakal graduan,” katanya. – MalaysiaGazette