Kereta yang dipandu Tan Ang Suan @ Tan Peng remuk di bahagian hadapan dalam insiden di stesen minyak Petron di Raub, Pahang.

KUANTAN – Seorang warga emas maut apabila kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler dalam keadaan parkir di stesen minyak di Raub pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu mangsa, Tan Ang Suan @ Tan Peng yang berusia 83 tahun meninggal dunia di lokasi nahas akibat cedera parah.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu treler dari arah Pekan Raub menghala ke Kuala Lumpur telah masuk ke simpang kanan dan berhenti dalam keadaan parkir di dalam kawasan Stesen Minyak Petron Jalan Lipis bagi tujuan mengisi minyak.

“Kemudian mangsa yang memandu Proton Saga datang dari arah Kota Bahru (Jalan Lipis) dan melanggar bahagian belakang tayar sebelah kiri treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kama Azrul berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, komander operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Saga dengan menggunakan rescue power unit.

Katanya, dalam operasi itu seramai seorang pegawai dan enam anggota dibomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat. – MalaysiaGazette