Pekerja MBK memasang pita kuning susulan arahan tutup operasi sementara premis perniagaan tanpa lesen sah di Jalan Beserah, Taman Mariana, Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mengarahkan sebuah premis kedai rangkaian serbaneka berkonsep yang terletak di Jalan Beserah, Taman Mariana, di sini ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah perniagaan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Kamawati Kamal berkata, penutupan premis akan berkuatkuasa sehingga pemilik mendapatkan kelulusan lesen perniagaan sebelum ia dibenar beroperasi semula.

Dua pekerja kedai rangkaian serbaneka menutup kedai mereka selepas arahan dikeluarkan kerana beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan penutupan diambil di bawah 25 (1) A Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 1983,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Penguatkuasa MBK turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,000 kepada pemilik premis perniagaan itu dalam operasi khas yang dijalankan petang semalam.

Dalam pada itu, Nor Kamawati berkata, mana-mana individu yang ingin memulakan sebarang jenis perniagaan dinasihat supaya membuat permohonan dan mematuhi syarat-syarat pelesenan seperti ketetapan MBK untuk mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan.-MalaysiaGazette