Seorang warga emas yang juga penjaga sebuah kedai menjual keranda ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang warga emas yang juga penjaga sebuah kedai menjual keranda ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa di sini awal pagi tadi.

Mayat mangsa lelaki dikenali Loh Yock Sit, 77, ditemukan di dalam bilik air dipercayai cuba mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa II Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasanpada jam 5.49 pagi sebelum sepasukan 26 anggota dikejarkan ke lokasi termasuk bantuan dari BBP Padang Temu dan Ayer Keroh.

Keadaan sebuah kedai menjual keranda yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa, Melaka awal pagi tadi.

“Sebaik tiba dilokasi, didapati api sedang marak membakar keseluruhan bangunan rumah kedai dua tingkat yang menjual keranda di tingkat bawah.

“Kita juga dimaklumkan terdapat penjaga kedai merupakan seorang warga emas lelaki masih terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian ditemukan pada jam 6.20 pagi di dalam bilik air di tingkat dua bangunan tersebut setelah api berjaya dikawal pada jam 6.05 pagi.

“Mangsa yang dikatakan bekerja di situ bagaimanapun telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGAzette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast