Nasrul Ali Hasan menunjukkan laporan yang dibuat di ibupejabat SPRM Kuala Lumpur ke atas tiga Ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR – Tiga nama bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah disenaraikan oleh Pergerakan Wira Putra Malaysia dalam laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah hari ini.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustafa Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen) yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; dan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Menurut Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, laporan itu dibuat bagi meminta SPRM Kuala Lumpur menyiasat tiga pemimpin itu yang nama mereka disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mahkamah semalam.

“Kita buat laporan SPRM hari ini berdasarkan keterangan dengar cakap oleh Ahmad Zahid dalam kes perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

“Dalam keterangan itu, Presiden UMNO mendakwa tiga bekas Ahli Parlimen berkenaan dikatakan telah menyeleweng wang dana atau peruntukan parti bernilai puluhan juta ringgit untuk tujuan lain.

“SPRM juga wajar menyiasat mengenai sumbernya sama ada dari parti UMNO atau dana kerajaan kerana kita khuatir tujuan dan tindakan penggunaan wang sebanyak itu membawa kesan buruk kepada amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiga Ahli Parlimen itu keluar menyertai PPBM kerana mahu menyelamatkan dirinya daripada disiasat oleh SPRM.

Nasrul Ali Hasan meminta dan menggesa SPRM untuk segera melakukan siasatan yang telus dan membawa mereka ke muka pengadilan sekiranya benar wujud unsur penyelewengan atau salah guna kuasa atas kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette