Pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Jelutong di Pulau Pinang diberi pendedahan mengenai proses pengundian sebenar PRU.

GEORGE TOWN – Pendedahan mengenai proses pengundian sebenar pilihan raya umum (PRU) diperluaskan ke sekolah di negeri ini susulan negara akan menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang berusia 18 tahun.

Aktiviti yang dijalankan menerusi Program Cambah Minda 2022 itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Pulau Pinang dan Pejabat Pilihan Raya negeri ke atas sekolah terpilih. 

Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Haniezaida Hassan berkata, program yang dijalankan sejak April lalu diperluaskan ke sekolah di negeri ini sekali gus penuntut berusia 18 tahun ke atas dan layak daftar pemilih secara automatik.

Menerusi program itu, penuntut diberi peluang melakonkan situasi sebenar proses pengundian seperti berbaris mengikut saluran, pengesahan identiti, cara melipat kertas undian dan lain-lain lagi.

Selain itu, katanya, penuntut turut didedahkan mengenai pengurusan bencana dan isu semasa lain yang berkaitan.

“Hari ini, seramai 50 penuntut Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Jelutong di sini, didedahkan dengan situasi sebenar proses pengundian ketika PRU.

“Pelajar pada usia ini sudah menunjukkan kefahaman mengenai proses berkenaan dan diharap mereka dapat menceritakan semula kepada rakan yang lain mengenai kepentingan daftar sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Taklimat itu turut disampaikan wakil Pejabat SPR Negeri, Norakashah Abu Bakar.

Hadir sama, Guru Besar Kolej, Rahmatullah Sulaiman.

Sementara itu, penuntut, Norshahida Roslan, 19, berkata, sebelum ini mereka hanya mempelajari mengenai sistem pilihan raya secara teori menerusi mata pelajaran Pengajian Am.

“Memang teruja hendak mengundi buat pertama kali dan kami didedahkan dengan keadaan sebenar semasa PRU selain tahu tugas individu di dalam dewan mengundi.

“Rupa-rupanya hendak melipat kertas undian juga ada caranya, bukan terus lipat dan masukkan ke dalam peti undi,” katanya.

Bagi Wan Syaza Syafika Wan Mohd Sham, 18, dengan simulasi itu dia dapat memahami tanggung jawab sebagai pengundi.

“Diharap pengundi muda dapat memahami kepentingan bagi mengundi dan menjalankan tanggung jawab mereka sebagai warganegara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast