Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap pada sidang media mengenai menggesa kerajaan agar tegas dalam membela kebajikan rakyat selepas kenaikan mendadak harga barangan di Ibu Pejabat Perikatan Nasional Publika, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JUN 2022.

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersetuju dengan desakan gaji menteri dan timbalan diturunkan bagi membantu rakyat dalam kesusahan.

“Saya bersetuju kalau Kabinet bersetuju ingin memotong potong gaji saya, menteri, dan timbalan menteri-menteri yang lain.

“Bukan kami sahaja, gaji pengerusi, lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun pun perlu dipotong untuk berkongsi keperitan rakyat”

“Terpulang 10 peratus, 20 peratus, secara peribadi saya bersetuju.” katanya demikian pada didang media di ibu pejabat Perikatan Nasional di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai 20 gerakan mahasiswa yang menggesa perkara itu dilaksanakan bagi merasai penderitaan yang dilalui rakyat ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ketua ARMADA Bersatu berkata, kerajaan wajar bertindak mengkaji keperluan memotong peruntukan bukan keutamaan kepada menteri dan timbalan menteri yang tidak memberi kesan kepada perjalanan tadbir urus negara.

“Kerajaan wajar pertimbangkan supaya peruntukan ini boleh disalurkan kepada perkara yang lebih mustahak khususnya mengurangkan kesengsaraan rakyat berdepan cabaran inflasi yang cukup getir,” ulasnya. – MalaysiaGazette