Tuan Ibrahim Tuan Man

PUTRAJAYA – Sebanyak 147,410 peluang pekerjaan hijau diwujudkan pada tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, statistik tersebut berdasarkan laporan pencapaian Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2021.

Menurutnya, bagi tahun ini sehingga Jun kira-kira 150,000 peluang pekerjaan hijau telah diwujudkan.

Katanya, dengan perkembangan tersebut sasaran untuk menyediakan lebih 200,000 pekerjaan hijau menjelang 2030 akan dapat dicapai.

“Justeru, kerjasama erat antara Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) amat dialu-alukan untuk merealisasikan sasaran ini,” katanya ketika berucap pada majlis  pelancaran Portal Pekerjaan Hijau, di sini, hari ini.

Jelasnya, portal berkenaan diwujudkan untuk menyediakan platform pelbagai fungsi kepada rakyat bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau dalam negara.

Menurut Tuan Ibrahim, dalam masa yang sama portal tersebut akan membantu menambah peluang pekerjaan selepas pandemik Covid-19.

“Portal ini telah dinaik taraf menjadi lebih mesra pengguna, lebih banyak kategori pekerjaan hijau baharu dan turut menyediakan capaian langsung ke portal Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bagi mendapatkan aktiviti terkini berkaitan kemahiran hijau,” tambah beliau.

Portal Pekerjaan Hijau adalah inisiatif MGTC dan telah diaktifkan sejak Oktober 2021.

Portal ini merupakan hasil kolaborasi bersama KSM, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Malaysia Association of Energy Service Companies (MAESCO) dan SME Association of Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast