Poster Mat Kilau yang telah diedit.-Facebook Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Tidak ada filem bertajuk ‘Mat Maslan Kebangkitan Pahlawan’ yang telah diterbit dan ditayangkan di pawagam.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tampil menafikan bahawa beliau terbabit dalam pengubahsuaian poster filem pecah panggung Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi Mat Maslan Kebangkitan Pahlawan.

Penafian tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO itu dalam media sosialnya hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata, dia telah menonton filem epik yang mencatatkan kutipan lebih RM23 juta hari ini.

“Mat Kilau diedit jadi Mat Maslan. Mengedit ini entah kerja siapa. Saya post di sini utk menafikan bukan saya yang edit.

“Apa pun, saya dah tonton Mat Kilau dgn keluarga. Filem sejarah Melayu yang paling hebat. Satu lagi ialah filem Hang Tuah lakonan P. Ramlee yang berwarna juga hebat,” katanya.

Selain pengubahusaian pada tajuk, wajah pelakon utama filem itu Adi Putra turut diedit dengan wajah Ahmad.

Ahmad menonton filem pahlawan Melayu yang menentang penjajah Inggeris tersebut pada 26 Jun lalu.

Beliau menyarankan filem epik arahan sutradara Syamsul Yusof itu ditonton oleh semua orang.

Menurutnya, filem Mat Kilau antara lain menyampaikan mesej bahawa keimanan, ketaatan, perpaduan, strategi dan keberanian merupakan kunci kemenangan dalam sesebuah perjuangan.

“Mat Kilau. Anda perlu menonton filem yang sangat menarik ini. Bawa anak, cucu, menantu, keluarga dan rakan.

“Sejarah perjuangan menentang penjajahan tidak mungkin terpadam daripada bumi bertuah ini.

“Keimanan, ketaatan, perpaduan, strategi, keberanian antara kunci kemenangan,” kata Ahmad.

Filem Mat Kilau membariskan pelakon antaranya Adi Putra, Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri dan Wan Hanafi Su.

Ia mengisahkan tentang seorang pahlawan melayu, Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit melawan dan menentang penjajahan British.-MalaysiaGazette