Sebanyak 13 premis yang diserbu kerana terlibat dalam kegiatan perjudian haram antara Januari dan Februari tahun initelah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik dengan kerjasama TNB.

KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik di 13 buah premis yang diserbu kerana menjalankan kegiatan judi secara haram telah dipotong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman berkata, kesemua premis itu diserbu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat polis Daerah Cheras bermula 17 Januari hingga 28 Februari lalu.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan kami telah berjaya menangkap seramai 44 individu. Siasatan mendapati kesemua premis itu telah menjalankan kegiatan perjudian secara haram.

“Sebagai tindakan susulan kesemua 13 premis yang bertanggungjawab menjalankan perjudian haram telah dilaksanakan tindakan pemotongan bekalan elektrik sepertimana diperuntukkan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, barang rampasan membabitkan 13 premis yang diserbu itu adalah sebanyak 168 buah laptop, lapan buah tablet dan tiga buah telefon bimbit membabitkan nilai rampasan berjumlah RM6,027.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram boleh menyalurkannya melalui hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/3031, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette