Pembeli membeli ayam segar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2022.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memberi jaminan agar penjual tidak mengenakan caj bagi perkhidmatan potong ayam susulan penetapan harga siling baharu.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow mendakwa penetapan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram sedikit sebanyak telah menjejaskan golongan berpendapatan rendah khususnya B40.

Subbarow.

Malah, golongan B40 akan terus terbeban sekiranya caj perkhidmatan potong ayam masih dikenakan oleh peniaga.

“Kami menerima beberapa aduan dan pendapat daripada pengguna sejak harga siling baharu ayam diumumkan dan rata-rata isi rumah tidak berpuas hati dengan penetapan harga itu.

“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan menerusi  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan kepada pengguna bahawa penjual tidak akan mengenakan caj bagi perkhidmatan potong ayam.

“Sebelum ini, penjual ayam mengenakan caj sebanyak RM1 hingga RM2 bagi perkhidmatan potong ayam.

“Jika penjual mengenakan caj itu pada masa sekarang, harga yang akan dikenakan ialah RM10.40 ke atas,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut digesa membuat tinjauan di lokasi penjualan ayam mentah serta kedai makanan bagi memastikan ayam tidak dijual pada harga terlalu tinggi.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan, berkuat kuasa 1 Julai ini, harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia selepas kerajaan mengambil keputusan tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan pemberian subsidi.

Manakala harga siling runcit telur ayam turut ditetapkan pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji). – MalaysiaGazette