Arak bernilai RM1.22 juta dirampas dalam Ops Kontraban bersepadu PDTM dan SPRM di sebuah premis di Kepong dengan penahanan empat lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka 29 Jun lalu.Ihsan PDRM Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang cuba menyogok pegawai bagi mengelak daripada diambil tindakan dalam serbuan operasi kontraban di Kepong.

Salah seorang daripada suspek pernah ditahan atas kesalahan yang sama di lokasi tersebut kira-kira tiga bulan lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pada 29 Jun 2022 Pasukan Gerak Khas bersama Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dn Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyerbu sebuah premis di Kepong dalam Ops Kontraban itu.

Dua kenderaan disyaki digunakan keempat-empat suspek dalam kegiatan penyeludupan arak turut dirampas dalam op kontraban 29 Jun lalu di Kepong. Ihsan Foto: PDRM

Katanya, hasil serbuan itu pasukan bersepadu itu berjaya menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 40 dan 46 tahun selepas menawarkan wang sogokan berjumlah RM25,000 kepada pegawai kanan polis di lokasi kejadian dengan harapan mengelak daripada diambil tindakan tangkapan dan rampasan.

“Dalam operasi yang sama, pasukan sama turut berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dan seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis itu pasukan penguatkuasa berjaya melakukan rampasan membabitkan sejumlah 34,536 tin minuman keras jenis beer, 889 botol minuman keras jenis liquor.

“Polis turut merampas dua buah kenderaan pacuan empat roda disyaki digunakan suspek untuk kegiatan penyeludupan kontraban serta wang tunai berjumlah RM42,157.50 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,228,391.97,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada empat suspek lelaki tersebut pernah ditahan di lokasi dan kesalahan yang sama pada 16 Mac lalu tahun ini membabitkan nilai rampasan barang kontraban berjumlah RM736,658.99.

Ujarnya, kesemua empat suspek itu kini ditahan reman di ibu pejabat polis daerah
Sentul dan sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama PDRM dan SPRM di dalam meningkatkan keberhasilan serta memastikan ketelusan operasi yang dijalankan agar lebih berintegriti dan efektif selaras hasrat pucuk pimpinan PDRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette