Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah (tengah) bergambar kenangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (kiri) serta penguat kuasa agensi kerajaan yang hadir pada Majlis Pelancaran Modul Integriti Penguat Kuasa (MIP) yang baru dirasmikan di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan awam perlu bergerak sebagai ‘penjawat awam yang berfikir’ dan berupaya memahami situasi di lapangan serta bersedia untuk menyelesaikan pelbagai isu merentas kementerian dan jabatan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Shafiq Abdullah berkata, ia merupakan peringatan beliau setiap masa agar penjawat awam terus kekal relevan dan menjadi ejen perubahan yang dinamik dan efektif.

Beliau berkata, banyak kejayaan merentas kementerian dan agensi telah dicapai apabila penjawat awam bersama-sama berganding bahu menyelesaikan pelbagai isu negara.

“Inilah yang dinamakan sebagai konsep Minda Kolaboratif iaitu semangat kerja berpasukan yang mesti diterapkan bagi melancarkan urusan kerja dan budaya kerja ‘in silo’ sudah tidak relevan lagi dalam konsep Keluarga Malaysia.

“Kita semua hendaklah menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber sebagai satu pasukan yang saling bekerjasama untuk membawa negara ke persada dunia.

“Kejayaan ini boleh dilihat melalui pencapaian National Task Force (NTF) sejak ianya ditubuhkan pada 6 Mei 2020, berjaya memperkukuhkan kawalan sempadan negara daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya ketika berucap melancarkan Modul Integriti Penguatkuasa di Institut Integriti Malaysia(IIM) di sini.

Mohd Shafiq Abdullah

Satu lagi kejayaan agensi penguat kuasa ialah Multi-Agency Task Force (MATF) iaitu kerjasama antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyediaan mesin pengimbas bagi setiap proses inbound dan outbound di seluruh negara bertujuan mengesan aktiviti penyeludupan, melalui perkongsian maklumat dan operasi bersepadu.

Mohd Shafiq berkata, pada tahun 2020, Biro Pengaduan Awam (BPA) telah menerima sebanyak 11,502 maklum balas daripada orang awam berbanding pada tahun 2019 sebanyak 12,321, iaitu penurunan sebanyak 6.6 peratus.

Daripada jumlah itu, kategori kegagalan penguatkuasaan merupakan ketiga tertinggi daripada bilangan aduan yang diterima iaitu sebanyak 1,136 kes merangkumi 9.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kategori aduan.

Menurut beliau, ia merupakan perkara serius dan perlu melihat kaedah yang sesuai untuk menangani perkara ini selain juga memperhalusi setiap aduan itu untuk menentukan sama ada ia ada kaitan dengan salahla ku penguat kuasa.

Beliau mengakui era endemik ini menyebabkan negara tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai isu baharu yang secara tidak langsung menguji integriti penjawat awam dalam aspek kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan terutamanya melibatkan anggota penguat kuasa.

“Ini kerana integriti bukan sahaja terhad kepada pembasmian rasuah malah integriti melangkaui rasuah dan merangkumi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban serta tadbir urus yang baik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Dalam soal berkaitan, beliau percaya penjawat awam sentiasa berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentas kementerian dan agensi demi kesejahteraan rakyat sekaligus dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan meningkatkan kepercayaan rakyat. – MalaysiaGazette