Cecair berwarna merah dikesan di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang, Klang.

KUALA LUMPUR – Siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesyaki terdapat aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang berikutan air Sungai Chandong bertukar menjadi merah, seperti yang tular pada laman media sosial semalam.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, LUAS telah mengesan cecair berwarna merah di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang, Klang.

“Cecair berwarna tersebut dipercayai dilepaskan ke dalam longkang dan mengalir masuk ke kawasan kolam tadahan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seterusnya memasuki Sungai Chandong.

“Anggaran jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.32 kilometer.

“(Bagaimanapun) Lewat petang semalam, LUAS mendapati keadaan aliran air sungai telah kembali normal berikutan air pasang dan dipercayai insiden itu berlaku awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, LUAS menerima maklumat daripada orang awam susulan air berwarna merah di Sungai Chandong, Klang, yang tular di laman media sosial.

Tambahnya, insiden itu disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan ke dalam longkang.

“Ia berikutan tiada penemuan punca aliran berwarna merah ini.

“LUAS telah menjalankan pensampelan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan diteruskan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara,” katanya.

Katanya, LUAS akan bekerjasama dengan penduduk sekitar untuk mengenal pasti pelaku dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

“LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap sumber air Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air.

“Tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999,” katanya. – MalaysiaGazette