Azali Abu dijatuhi hukuman penjara sembilan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku salah melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak yang di bawa lari dari Klang, bulan lalu.

MELAKA – Seorang juruteknik kilang dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku salah melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak yang dibawa lari dari Klang bulan lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azali Abu, 40, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun kira-kira pukul 10 malam di Pangsapuri Bachang Permai, Jalan Tun Fatimah, Melaka Tengah pada 16 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan lapan lagi pertuduhan iaitu masing-masing empat pertuduhan bagi Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua lapan pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa telah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 16 Jun 2022 dan antara pukul 9 pagi hingga 10 malam pada 17 Jun 2022 di lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat, bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa berusia 30 tahun telah menerima panggilan telefon daripada pemandu van sekolah anaknya itu memaklumkan remaja perempuan itu tidak kelihatan selepas tamat waktu persekolahan pada 16 Jun 2022.

Ibu mangsa kemudian telah menghubungi rakan anaknya dan dimaklumkan mangsa telah mengikuti seorang lelaki menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan selepas pengakuan tertuduh.

Mengikut hujahan, tertuduh telah melarikan mangsa dari Klang dan dibawa ke pangsapuri berkenaan untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Kata Ahmad Sazali, tertuduh secara terang-terangan  mengambil kesempatan terhadap mangsa yang merupakan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Klang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Jun lalu.

Beliau turut menetapkan 28 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette